Beca.. Dulu, Kini dan Pupus!
(Malay translation) Waktu kecil dulu sekitar akhir 70an dan awal 80an, beca atau orang Terengganu panggil teksi gohek (kayuh) amat banyak bilangannya di bandar Kuala Terengganu. Aku sempat juga menggunakan perkhidmatan beca ini beberapa kali secara tidak langsung. Teringat zaman sekolah ada sesetengah pelajar menggunakan khidmat beca ini untuk berulang-alik ke sekolah. Kini beca makin berkurangan di bandar Kuala Terengganu ini sebagaimana makin berkurangnya pengayuh dan pemilik beca tersebut yang semakin tua dimakan usia.
Beca Melaka Bandaraya Bersejarah.
Apa itu beca? Beca adalah kenderaan beroda tiga yang asalnya diubahsuai daripada lanca, iaitu kenderaan beroda dua yang ditarik menggunakan kudrat manusia.
Di Malaysia, sejarah bermula pada 1914 apabila 15 beca didaftar di Singapura sebelum diperkenalkan di negeri-negeri Tanah Melayu.
Beca Terengganu Darul Iman.
Walaupun pada awalnya ia hanya mengangkut penumpang, kini ia turut digunakan bagi mengangkut barang. Boleh dikatakan hampir kebanyakan negeri di Malaysia mempunyai perkhidmatan beca, namun ia paling popular di Melaka dan Pulau Pinang kerana diiktiraf sebagai aset tarikan pelancongan.
Antara perkhidmatan yang masih dijalankan.
Di negeri lain, perkhidmatan penarik beca makin pupus berikutan kurangnya permintaan daripada pelancong tempatan atau asing.
Di Melaka, harga beca mencecah antara RM3,000 hingga RM5,000 sebuah, bergantung kepada kelengkapan yang ada padanya seperti bateri, alat perhiasan seperti lampu dan set radio.
Kini susahnya untuk mendapat pelanggan.
Bagaimanapun, di kebanyakan tempat seperti Kelantan dan Terengganu, harga beca sekitar RM800 hingga RM1,000 kerana hanya dilengkapi barangan asas seperti tempat duduk penumpang dan penutup bahagian atas.
Pemilik beca Melaka sedang menunggu pelancong.
Dianggarkan ada kira-kira 300 beca di Melaka, manakala hanya tinggal kurang 30 beca di Kelantan dan Terengganu.
Di Melaka, bayaran kira-kira RM20 hingga RM30 dikenakan kepada pelancong yang ingin merasai pengalaman menaiki beca bagi pusingan tidak sampai satu kilometer manakala untuk bergambar saja sekitar RM20.
Beca Kelantan Darul Naim.
Bayaran itu jauh berbeza berbanding diterima penarik beca bagi mengangkut barang serta penumpang di Kelantan dan Terengganu, iaitu hanya RM2 bagi jarak kurang dua kilometer dan RM5 hingga RM10 bagi jarak lapan hingga 10 kilometer.
Perkhidmatan beca di Kuala Terengganu awal 80an.
Beca semakin pupus ditelan arus masa dengan munculnya kemudahan awam seperti bas, teksi, keretapi dan banyak lagi. Selain itu taraf hidup yang makin meningkat menjadikan semakin ramai orang mampu memiliki kenderaan sendiri seperti motosikal dan kereta untuk bergerak.
Beca masa depan?
Kini beca lebih dikenali sebagai bahan pelancongan tidak seperti dahulu yang lebih kepada pengangkutan awam yang penting. Ada kemungkinan anak-anak di masa depan hanya mengenali beca ini di muzium atau di dalam buku sejarah sahaja.
No comments:
Post a Comment