Nuffnang Add

Thursday, February 25, 2016

Can-Am Spyder Roadster


(Malay translation) SEJAK diperkenalkan ke pasaran Amerika Syarikat (AS) pada Februari 2007, jentera itu terus menjadi topik hangat dalam dunia motosikal di peringkat global.

Popularitinya semakin meningkat apabila terpilih menjadi pelakon tambahan dalam banyak muzik video, rancangan televisyen, selain filem-filem blockbuster seperti G.I. Joe dan Transformers II.


Sebenarnya, jentera tiga roda keluaran firma yang berpangkalan di Valcourt, Québec, Kanada itu sudah berada di pasaran tempatan sejak tahun 2009. Namun kelibatnya jarang dilihat di atas jalan raya.

Kini, Can-Am Spyder Roadster mahu lebih dikenali di Malaysia. Tugas tersebut digalas oleh USF-HICOM, anak syarikat milik penuh DRB-HICOM yang telah mengambil inisiatif untuk mendapatkan hak pemasangan dan pengedaran Can-Am Spyder Roadster di sini.


Sebagai permulaan, USF-HICOM menawarkan dua varian Can-Am Spyder iaitu Roadster Sports dan Roadster Touring. Roadster Sports sesuai untuk mereka yang mahukan gaya tunggangan sporty. Sementara bagi penunggang yang gemar mengembara dalam jarak jauh, Roadster Touring memang kena dengan jiwa anda.


Sekali pandang, rekabentuk Can-Am Spyder tidak jauh beza dengan jentera salji (snowmobile) moden. Apa tidaknya, pengeluar kenderaan terbabit iaitu Bombardier Recreational Products (BRP) sememangnya syarikat peneraju dalam penghasilan jentera salji, ATV (All Terrain Vehicle), bot dan pelbagai jentera bagi tujuan rekreasi.

Memiliki kepakaran selama 70 tahun, BRP mempunyai kemudahan kilang di Kanada, AS, Mexico, Finland dan Austria dengan tenaga kerja mencecah 6,000 orang. Produknya pula dipasarkan ke lebih 100 buah negara menerusi 3,500 pengedar di seluruh dunia.


Harus tahu bahawa Can-Am Spyder Roadster bukan motosikal tiga roda konvensional. Sebaliknya ia mengaplikasikan kerangka berbentuk Y. Maksudnya, dua roda di hadapan dan satu roda bersaiz lebar di belakang. Menggabungkan teknologi motosikal dan ATV, Can-Am Spyder mengaplikasikan rekabentuk A-arm berkembar dengan penyerap hentak tunggal pada roda belakang.


Kenderaan itu menggunakan kerangka Surrounding Spar Technology binaan BRP. Kerangka tersebut menyokong rekabentuk Y dan memastikan titik graviti Can-Am Spyder Roadster kekal rendah dengan memasang enjin di bahagian belakang roda hadapan.


Tidak seperti motosikal tiga roda lain misalnya Piaggio MP3, Can-Am Spyder Roadster tidak membenarkan anda membuat corner baring. Jadi, kalau laju macam mana sekali pun di selekoh, lutut tidak akan mencecah jalan raya.

Kestabilannya juga banyak bergantung kepada Sistem Kestabilan Kenderaan (Vehicle Stability System, VSS) yang sofistikated. Dibangunkan bersama Bosch, VSS turut merangkumi teknologi-teknologi seperti brek antikunci (ABS) serta sistem kawalan cengkaman dan kestabilan. Sementara stereng kuasa pula memastikan Can-Am Spyder Roadster dapat dikendalikan dengan mudah di atas jalan raya.


Semua ciri yang dinyatakan tadi adalah demi memastikan jentera itu terus melekat di atas jalan raya, walaupun ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Dengan segala sistem keselamatan itu, maka tidak hairanlah jika ia disifatkan sebagai antara motosikal paling selamat di dunia.

Tidak mengujakan? Enjin V-Twin bersesaran 998cc itu mungkin boleh mengubah persepsi anda. Enjin dengan sistem penyejukan cecair itu dibina oleh Rotax yang beribu pejabat di Austria, juga anak syarikat BRP.


ENJIN Rotax bersesaran 998cc membuatkan aktiviti meluncur di atas jalan raya cukup menyeronokkan.

Macam pernah dengar? Memang betul, enjin Rotax banyak digunakan pada go-kart, motosikal dan pesawat ringan. Rotax juga menghasilkan enjin untuk kegunaan jenama motosikal lain termasuklah BMW, BMW, Aprilia dan Buell.


Enjin yang dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan itu berupaya menghasilkan kuasa sehingga 106hp @ 8,600rpm dan tork maksimum 104Nm @ 6,250rpm. Jadi, tugas menggerakkan tubuhnya yang lebar itu di atas jalan raya bukanlah satu masalah besar. Anda juga boleh memilih sama ada kotak gear manual atau semi automatik. Kedua-duanya hadir sama dengan gear mengundur.


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengklasifikasikan Can-Am Spyder Roadster sebagai superbike. Cukai jalannya berdasarkan motosikal bersesaran 1,000cc dengan insurans bermula pada takat RM2,900 sehingga RM4,500 mengikut varian.


Berkaitan pembayaran tol di lebuh raya, pihak USF-HICOM menyatakan setakat ini mereka yang menunggang Can-Am Spyder Roadster tidak dikenakan tol, walaupun perlu melalui laluan kereta atau lori yang paling kiri. Namun, isu pembayaran tol mungkin berbeza di antara pengendali lebuh raya memandangkan mereka mempunyai polisi berbeza.

Harganya di Malaysia, Can-Am Spyder Roadster ditawarkan pada harga di antara RM103,860 sehingga RM159,350 seunit, bergantung kepada varian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...